Johor: Sasaran tubuh 200 unit Skim Rondaan Sukarela
BATU PAHAT: Polis Batu Pahat menetapkan sasaran untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 200 unit Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh daerah ini menjelang akhir bulan depan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata ketika ini sebanyak 151 unit SRS berjaya ditubuhkan menerusi program Kepolisan Masyarakat yang dilancarkan sejak tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran untuk meningkatkan jumlah pasukan kawalan kampung dan taman perumahan itu dapat dicapai menjelang pelancaran SRS peringkat daerah yang dijadualkan diadakan Julai ini.
"Penubuhan SRS di taman perumahan dan kampung amat penting dalam usaha kita memantapkan lagi program pencegahan jenayah di daerah ini.
"Dengan adanya unit kawalan sukarela yang terdiri dari penduduk setempat itu, saya yakin kadar jenayah di kawasan kejiranan akan dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SRS Taman Wira Jaya, di Parit Raja, yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Raja, Aziz Kaprawi, baru-baru ini.
Ibrahim berkata, jumlah anggota polis Batu Pahat yang hanya kira-kira 500 orang tidak mampu untuk mengawasi keseluruhan kawasan daerah ini yang seluas 1,875 kilometer persegi.
Sehubungan itu, beliau berkata sokongan serta kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk memastikan pemantauan yang lebih luas bagi mencegah berlakunya jenayah.
"Dalam usaha kita membanteras jenayah, ahli SRS bukan saja bertanggungjawab melakukan rondaan bagi mengawal kawasan kejiranan mereka, malah bertanggungjawab menyalurkan maklumat bagi memudahkan polis bertindak.
"Penubuhan SRS inilah pendekatan paling praktikal dan berkesan untuk mencegah jenayah, ketika polis berdepan masalah kekurangan anggota," katanya.
Sementara itu, Aziz, dalam ucapan perasmiannya berkata, SRS adalah pendekatan terbaik untuk mewujudkan komuniti yang harmoni dan sejahtera.
Beliau berkata, dengan adanya SRS, penduduk di kawasan kejiranan itu akan dapat menikmati hidup yang lebih selesa dan aman kerana keselamatan di kawasan mereka terjamin.
"Tanpa SRS yang melakukan kawalan dan rondaan khususnya pada waktu malam, mungkin ada kalangan penduduk yang tidak boleh tidur lena kerana bimbangkan keselamatan diri, keluarga serta harta benda daripada ancaman penjenayah," katanya.
Katanya, menerusi SRS juga, semangat bergotong royong kalangan masyarakat sesuatu tempat itu dapat dihidupkan kembali.
"SRS diwujudkan hasil permuafakatan penduduk sesuatu tempat itu dan ini secara tidak langsung akan merancakkan lagi semangat gotong royong dalam masyarakat kita," katanya.